Monday, May 31, 2010

Shopping, Melawat & makan

Semalam sebelum pergi hospital singgah dulu kat Sunway Pyramid sebab sikakak nak beli baju. Punyalah jauhnya nak mencari kedai Romp akhirnya jumpa juga. Dapatlah dia baju yang dihajati. Hubby juga dapat 2 helai T-shirt Jeep. Lepas tu merayap dari satu kedai kesatu kedai, dah habis round kami ke hospital.



adik

Sampai kat sana ramai saudara mara datang melawat maklumlah semalam hari ahad, nampak anak buah ceria sedikit sebab semua wire dah ditanggalkan bermakna semua ubat yang dimasukkan melalui injection dah diberhentikan. Doktor cuma bagi dia makan ubat pil.

Pukul 8 malam kami semua balik sebab masing2 ada hal esoknya bermakna hari ini, ada anak2 yang masih belum habis exam. Sebelum balik saya sempat singgah makan, anak nak makan western food. Saya order lamb chop, hubby nasi ayam(typical malay) 2 orang anak oder sizzling chicken. Kalau ikut selera saya lebih suka western kat Kenny rodgers berbanding kat kedai2 lain sebab banyak pilihan dan lebih sedap. Habis makan kami terus balik lepas tu terus ZZZZzzzzzzzz.....



sizzling chicken



lamb chop

Sunday, May 30, 2010

After 8 Coklat & Ice Cream

Pagi semalam anak nak makan pancake dengan sambal sardin so saya pun merajinkan diri, kasihan pula selalu makan makanan kedai sesekali makan makanan yang dimasak sendiri dan jarang jumpa kat kedai. Berselera sungguh mereka makan, sedap katanya. Alhamdulillah.



Selepas bersarapan saya siapkan kerja2 rumah lepas tu saya dan anak2 mengikut hubby ke Amcorp Mall sebab hubby nak jumpa orang. Sementara menunggu hubby kami merayap tapi takde apa yang menarik cuma ada jual barang2 antik itu pun tak berapa banyak. Sambil jalan saya terjumpa booth Famous Amos terkenal dengan chips dan coklatnya tapi kali ni saya jumpa ice cream, macamlah tak pernah makan ice cream, selalu beli baskin robbins tapi kali ni ice cream yang satu nama dengan coklat yang famous di UK. Tak tunggu terus beli memang sama rasanya dengan coklat yang saya selalu makan. Nak tahu ice cream apa? AFTER 8. Kalau sesiapa pergi ke UK carilah coklat ni memang sedap, mungkin ada jual kat supermarket atau kat Langkawi. Cubalah memang sedap....Yang coklat tu berperasa famous amos cookies.


after 8



Friday, May 28, 2010

Belum Confirm

Minggu ni asyik berulang alik ke salah sebuah hospital kerajaan sebab anak buah sakit. Dah seminggu dia berada kat sana. Mulanya dia admitted kat Tawakkal Hospital tapi menurut doktor hospitalnya tidak mencukupi peralatan dan doktor pakar maka dia di sarankan untuk ke sini. Tanpa berbincang dengan keluarga dia terus mengikut saranan itu. Kalau diikutkan rekodnya ada di Subang jaya Medical Center tapi mungkin disebabkan terlalu panik dia mengambil keputusan mendadak.


Seminggu berada di sini tak ada apa2 yang berubah hari2 ambil darah, ambil najis, ambil air kencing, ambil kahak dan yang paling sedihnya ambil air tulang belakang. Seluruh badan hancur dan bengkak dek kerana jarum. Hasilnya masih tungguuuuuu......BELUM CONFIRM.

Bulu tangan habis gugur dek penangan ubat mungkin macam kimoterapi, sakitnya bila dimasukkan ubat hanya Allah yang tahu, boleh tengok dari air muka yang berkedut menahan sakit walau pun dia tak mengeloh. Bila ubat dah habis dia stabil boleh bersembang, makan dan even berjalan. Tanya sakit apa tunggu.......BELUM CONFIRM.

Menurut doktor air tulang belakang akan diambil lagi tapi disebabkan anak buah demam sampai ketahap katil bergoyang jadi ditangguhkan. kalau mengikut kehendak kami semua dah tak nak bagi tapi takut pula apa2 terjadi doktor salahkan kami sebab tak mengikut kata2 mereka

Wad selesa, besar cuma ada satu katil, katanya wad VIP boleh masuk bila2 masa, tunggu berapa lama pun boleh tapi yang tak tahan bila nak tahu apa penyakit ....BELUM CONFIRM.......

Tuesday, May 25, 2010

9 tahun telah berlalu...

Hari ini 25-5-2001 hari jumaat hari yang sangat2 bersejarah buat saya. Ramai orang berkumpul diperkarangan rumah, sanak saudara jauh dan dekat, kawan2 dan juga jiran2.

Pagi jumaat selepas bersarapan bersama abang, dia minta diri untuk pulang ke rumahnya di Perak. Saya pula harus meneruskan kerja2 rumah setelah 2 orang anak saya ke sekolah dan yang bongsu masih tidur. Saya hantar abang sampai ke depan gate walaupun dia menyuruh saya masuk sebab terdengar deringan telefon. Sambil berjalan abang menoleh kebelakang dan saya masih di depan gate. Setelah abang tak kelihatan saya pun memulakan kerja2 yang tergendala. Dari dulu memang tabiat saya jarang gunakan penyapu untuk menyapu, saya lebih selesa menggunakan vacuum sebab saya rasa lebih bersih.

Satu jam kemudian telefon berdering lagi saya terus angkat dengar ditalian mengatakan ianya panggilan dari Balai Polis, saya marah pada pemanggil sebab sebelum ni sepupu saya suka bergurau kalau menelefon, terus saya letakkan gagang telefon. Telefon terus berbunyi dan kali ni suara pemanggil agak tegas, saya pun dengar apa yang hendak diperkatakan. Katanya dia jumpa no telefon tu dalam wallet dan ada tak keluarga puan yang bernama O....... Saya jawab itu nama abang saya macam mana encik tahu dan dimana jumpa. Selepas tu dia mula merendahkan suara dan menyuruh saya bersabar, masa ni hati saya dah mula berdebar. Pemanggil minta saya atau waris datang ke Balai polis untuk mengecam, luluh hancur berderai hati saya dan meraung setelah meletakkan telefon.

Semasa nak naik keatas saya terjatuh ditangga punyalah sakitnya punggung tapi kuatkan semangat. Setelah puas menangis telefon bagitahu hubby masa tu hubby bekerja di Johor, adik sepupu dan sekolah anak2. Dalam fikiran macam mana nak pergi ke balai sedangkan saya sendiri tak pernah tahu dimana balai polis. Tak lama anak perempuan saya balik dihantar cikgu sekali lagi meraung dengan anak sebab disangkanya abang dia. Dalam masa kelam kabut tetiba suami sepupu saya muncul depan pintu lalu mengajak saya ke balai. Selepas menukar pakaian saya dan sepupu terus ke balai dan bila sampai kami diarahkan untuk menunggu. Tak lama adik pun sampai dari pejabat dan kami sama2 masuk kedalam.

Setelah diceritakan oleh inspector abang saya ditemui kaku didalam bas yang dinaikinya selepas driver mengarahkan semua penumpang turun kebawah sebab bas rosak, kami dibawa kesatu sudut dimana abang dibaringkan. Ya Allah sekali lagi air mata gugur membasahi bumi apabila melihat wajah abang kaku dan sejuk. Percaya atau tidak hanya beberapa jam sebelum tu kami berborak begitu rancak, abang yang saya lambai didepan gate sudah tidak boleh bergerak. Kami mengiringi jenazah abang setelah inspector menyuruh orang bawahan dia menghantar kerumah saya.

Dirumah segala2ya dah siap dengan pertolongan keluarga dan jiran2, jenazah diletakkan diatas tilam. Kami berbincang untuk membawa jenazahnya balik ke Perak tapi disebabkan hari Jumaat maka penghantaran terpaksa dilakukan sebelah petang. Isteri dan 2 orang anaknya diminta tunggu saja dirumah dan buat apa yang perlu dilakukan. Ramai keluarga dan rakan2 datang menziarah, hubby pun tak lama lepas tu sampai dari johor.

Lebih kurang pukul 5petang jenazah abang dibawa balik kePerak dan besoknya diawal pagi baru dapat disemadikan. Moga2 abang aman disana hendaknya.

Abang adalah bekas tentera udara, pernah tinggal di Sarawak, setelah bersara bina rumah di Kuantan tinggal berdekatan dengan mertua. Tak lama berpindah pula ke Kl. 2 tahun selepas tu pindah pula ke Perak. Semasa disinilah penyakit jantung menyerang. Dia dimasukkan ke hospital berulang2 kali dan akhirnya doktor mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bypass.

Selepas pembedahan dia dimasukkan ke ICU kerana dalam keadaan kritikal. Kami adik beradik semua dah berkumpul dan dah bersedia kalau apa2 akan berlaku. Mungkin umurnya masih panjang dia sihat kembali selama satu tahun, tapi dia tidak boleh membuat sebarang pekerjaan dan tak boleh memandu. Kalau dia rasa boring dia akan meziarahi rumah adik beradik yang lain dengan menaiki bas.

Malam sebelum kejadian dia bermalam dirumah saya selepas 2 malam tinggal di rumah adik . Malam tu saya hanya masak untuk anak2 aje jadi saya pun order pizza. Saya dan 3 orang anak makan bersamanya sambil bergurau dan gelak ketawa. Abang juga minta no telefon yang pada masa tu telefon baru menggunakan 8 angka. Dia menyuruh anak perempuan saya menulis besar2 sebab katanya nanti kurang jelas. Bila anak saya serahkan kertas tu dia menyimpan kemas didalam walletnya. Seronoknya anak2 saya pada malam tu, dia adalah bapa saudara kesayangan mereka sebab sifatnya yang sangat2 peyayang. Lewat tengah malam baru kami masuk bilik dan tidur.

Awal pagi dia dah bangun saya pula sibuk menyediakan anak2 yang nak kesekolah. Selepas membuat sarapan saya mengajaknya minum dan kami makan sambil berborak. Katanya dia nak balik pagi2 sebab kalau petang hari panas dan takut pula hujan. Setelah siap semuanya dia pun bersiap dan saya menghantarnya kedepan pintu. Itulah lambaian terakhir dari saya buat abang dan itulah pandangan terakhir abang untuk saya. hari ini genap usia pemergiannya 9 tahun semoga roh abang dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang2 yang soleh. Amin.......

Saturday, May 22, 2010

Makan-Makan


Lemon Butter cake siapa lagi sifu saya cikmanggis lah . Lepas tu saya buat tambahan agar2 gula merah dan masak asam tumis daging tetel atau cincang. Saya buat sebab nak bawa ke rumah adik di Shah Alam. Adik dari Taiping datang, esok nak menghantar seseorang ke KLIA.




Add Image




Thursday, May 20, 2010

Melancung

Seronoknya adik saya baru aje balik dari New York dan kemboja, minggu depan hari khamis dah nak ke New Zealand dan Australia pula tapi atas urusan bekerja. walaupun urusan bekerja masih ada waktu untuk jalan2 dan shopping. Rasanya sejak dia memegang jawatan ni banyak negara telah dilawati dan ada yang berulang 2 atau 3 kali. Dalam sebulan hanya beberapa hari saja dia bersama keluarga mengalahkan kerja pilot(bak kata lg).

Selalunya kalau dia keluar negara mesti ada membawa buah tangan untuk adik beradik, anak2 saudara dan saya yang paling untung sebab fridge magnet saya akan bertambah dari masa kesemasa. Kalaulah fridge saya dah penuh dengan fm tu mungkin terpaksa membeli sebuah fridge lagi tapi apa saya nak isikan. Penghuni dalam rumah ni pun yang tetap ada 3 orang itu pun kadang2 keoutstation, takkan nak beli fridge hanya untuk nak tampal fm.

Adik dengan mak mertuanya berlumba2 pergi keluar negara tapi mak mertuanya adalah warga emas yang suka melancung. Setiap kali balik dapat habuan juga, siapa lagi dia nak bagi anak cuma 2 orang, satu menetap di US berkahwin dengan matsaleh, dan yang bongsu isteri kepada adik saya. Kalau ke Mekah tak tahu dah berapa kali dia pergi seronok betul kehidupannya tapi kadang2 dia sunyi juga sebab hanya tinggal dengan pembantu, suami dah lama pergi.

Mungkinkah satu hari saya juga macam mereka melancung kesetiap pelusuk negara tapi kalau boleh biarlah bersama my hubby. Macam mat saleh dah tua2 melancung bersama2 romantik aje walau pun umur dah dihujung dunia.

Wednesday, May 19, 2010

Bersiaran Kembali

2 hari tumbang...... urat pinggang, kaki, lutut, tangan semuanya tegang dek kepenatan. 2 hari juga tak bersiaran, alhamdulillah hari ni dah sihat seperti biasa, dah boleh buat apa2 saja.

Dalam pada tak sihat siadik minta buat muffin untuk cikgu dan kawan2nya, alhamdulillah dapat buat dengan bantuan siadik dan dapatlah kawan2nya merasa.




ada yang senget

untuk cikgu



untuk kawan2

Saturday, May 15, 2010

Tanaman Ku

Hari ini peluh yang dah berapa lama tersimpan habis keluar. Berkebun ...ya saya berkebun hari ini, lama betul saya tak merawat dan membaja pokok2 yang ada disekeliling rumah. Walaun pun begitu pokok2 tetap subur dan bunga orkid banyak yang berbunga.

Selalu setiap 2 minggu tugas yang wajib saya lakukan ialah membuang kiambang yang terlalu banyak hidup di dalam kolam, kalau dibiarkan takut ikan yang ada didalam tak cukup udara. Dulu masa mula2 saya membeli kiambang tokey nursery tu jual rm1 untuk satu , saya minta 2 tapi dia tetap dengan harga yang sama, padahal punyalah senang kiambang membiak. Kiambang ni ada 2 jenis satu macam kobis daunnya bulat berlapis2 dan satu lagi daunnya panjang2 sedikit.


Kalau ikutkan 2 atau 3 hari pun belum tentu siap untuk mengerjakan pokok2 yang saya ada, terlalu banyak mana nak dicantas, cabut rumput, membaja dan kadang2 mengalih pasu haaa...kalau buat kerja ni mesti minta bantuan, siapa lagi mangsanya kalau bukan hubby dan anak2. Dah habis kerja kena rasuah beb.... ada suara2 yang minta belanja makan kat sini, situ, sinun, nasibla kan... nak buat sorang2 tak larat, tulang dah mula reput.


Masa lampau ketika ada Kim(arnab saya) bila saya berkebun dialah yang paling sibuk lari sana lari sini masuk dalam pasu yang saya pegang tapi itu hanya tinggal kenangan. Kim dah pergi tak tahu sama ada hidup atau pun mati.





2 jenis kiambang


pucuk muda, yg tua lentok ke bawah


sebelah kiri pegaga jepun hidup subur




Thursday, May 13, 2010

Happyyy

Lega rasanya bila anak dah habis exam. Tugas ibu mengiringi doa agar anak diterangkan hatinya, kuatkan daya ingatannya dan dipermudahkan. Berita yang menyeronokkan bila anak bagi tahu result midterm test, ma akak dapat highest marks, ALHAMDULILLAH... Harap2 final exam juga sama macam tu.




Berita gembira juga adik dari Sungai Petani singgah ada meeting kat Putrajaya. Salam bila nak balik genggam tangan erat2, dapat angpow....,seronoknya.

Tuesday, May 11, 2010

Bengang

Bengang memang bengang kita bagi salam tulis elok2 tapi dah lah tak jawab salam, cakap pun berlagak. Pagi2 buat saya marah, saya sms orang yang sewa rumah sebab dah berpuluh kali masih tak berubah. Saya minta dia kalau boleh percepatkan bayar duit sewa , sesedap rasa aje dia jawab "saya tahu saya sewa rumah orang". Lawan tokey nampak siapa yang patut marah, apa salahnya kalau dia jawab " maaf akan saya usahakan" kan sedap sikit bunyinya kita pun ada hati perut.

Dulu masa nak menyewa dah berjanji tak jadi masalah, saya bagi tempoh paling lewat seminggu dari awal bulan. Kalau sekali2 saya tak kisah tapi setiap bulan kita pun bukan orang berduit kadang2 kita juga memerlukan walaupun tak sebanyak mana.

Nak kata susah anak cuma seorang, suami isteri bekerja orang lain pun ada masaalah juga tapi taklah setiap bulan. Kalau hari raya dan awal tahun dah sure bertangguh tapi saya pun faham nak pakai duit buat belanja raya, awal tahun nak buat perbelanjaan sekolah. Yang saya pelik ada2 saja alasan motor hilang, nak balik kampong, sedara sakit dan macam2 alasan tapi logik ke kalau SELALU sangat.

Kadang2 rasa tak nak bagi orang sewa rumah biar aje kosong, hati tak sakit tapi bila pikirkan rumah terbiar sekurang2nya dapat juga duit buat belanja sekolah anak. Susahnya ada rumah....... kalau takde rumah........ lagi susah.........


Penyewa sebelum ni pula 3 bulan tak bayar saya pun pergilah tengok rumah, ketuk pintu seorang lelaki tak dikenali keluar, tanya pasal sewa dia kata dia dah bayar, pelik pula last2 dapat tahu orang yang menyewa rumah saya sewakan bilik pada lelaki tu dan yang bestnya dia sentiasa bayar sewa bilik, penyewa untung kita melopong.....

Kenapalah ada manusia yang macam ni ada dalam dunia ini.......

Sunday, May 9, 2010

Give

Mungkin malam tadi ramai para suami dan anak2 meraikan ibu2 ditempat2 yang agak best gitu, makan2 atas bot ke, bagi bunga berjambak2 ke atau bagi rantai berkilo beratnya ke tapi saya.... duduk aje... kat mana?...kat rumah.... nak tahu kenapa? hubby outsatation.... macam selalu mesti gi makan2 kat atas air, tepi pantai atau tepi tasik atau atas angkasa..... best.... boleh tengok KUALA LUMPURRRRR........

Pagi ni hubby cal tanya breakfast apa, saya jawab nasi lemak tapi homemade boleh katanya sedap dan katanya lagi masakkan isteri paling sedap dalam dunia, maknanya selama ni saya masak sedaplah wakakakah.... Dulu kalau tanya masakkan siapa paling sedap jawabnya masakkan ibu dia, tapi sekarang dah berubah. Tapi saya tahu kenapa.... mungkin para suami kalau jauh dari isteri, sayang tu amat mendalam, rindunya lebih, ialah kot. Ni kena tanya para isteri yang suaminya bekerja jauh heheheeee.




nasi lemak homemade


breakfast semalam

Saturday, May 8, 2010

Selamat Hari Ibu



Just want to say............ SELAMAT HARI IBU..................

Khas buat kakak dan adik, ipar duai, anak buah, sepupu sepapat, sedara mara, kawan2, kawan2 blogger dan IBU2 diluar sana.......


.........JJCM.....mana?.

Friday, May 7, 2010

Tapai

Masa pergi kenduri kahwin tempoh ari sebelum balik kak Mon memberikan pada saya goodies selain bunga telor yang di cabut dari pahau depan pelamin dia menyerahkan satu lagi beg plastik, katanya balik nanti simpan dalam fridge bila dah sejuk sedap makan.

Dah sampai rumah saya suruh anak masukkan. Semalam bila saya mencari sesuatu dalam fridge saya terjumpa plastik ni, tanpa membuang masa saya buka, ya Allah kak Mon masih ingat makanan kegemaran saya, terima kasih banyak2. Siapa pernah makan tapai yang dibungkus dalam daun ( tak tahu daun apa) kecik2, comel bungkusannya. Sekarang tidak lagi berwarna putih tapi berwarna warni macam nasi hujan panas, ada merah dan hijau.

Orang Melaka memang terkenal dengan tapai, setipa kali kenduri pasti ada benda ni, rasanya sedap manis. Saya memang suka tapai tak kira tapai pulut atau pun tapai ubi.


p/s: sahabat yang akan diingat sampai bila2, sayang kak Mon........

Wednesday, May 5, 2010

Lelaki Durjana

Dah lama saya nak buat cerita ni dalam n3 tapi saya takut ada yang terasa hati maklumlah ianya cerita peribadi orang. Pikir punya pikir tak salah rasanya kalau kita jadikan ia tauladan dan renungan buat masa hadapan.

Ceritanya begini, kenalan saya punya seorang anak perempuan dah bertunang, wajah gadis ni memang cantik, kulitnya putih gebu berpelajaran tinggi dan kalau dah punya sijil master dah tentunya menjawat jawatan yang tinggi. Mak ayahnya punya hati yang baik dan pemurah dan boleh dikatakan hidup senang.

Nasibnya agak baik baru saja mendaftar kat tabung haji tahun lepas dah dapat panggilan buat haji. Semasa di Mekah si ibu sentiasa berdoa yang terbaik untuk si anak maklumlah dia hanya punya seorang anak perempuan, di tatang bagai minyak yang penuh.

Sekembalinya si ibu dari Mekah anaknya selalu aje ada dirumah jarang keluar atau bersiar2 dengan tunangnya. Satu hari si ibu bertanya kalau anak gadisnya punya masaalah dengan tunangnya. Masa tulah terbongkar rahsia apa yang terjadi pada sianak selama dia menjadi tunangan orang. Sebelum ni ada juga si ibu perasan kadang2 muka, tangan si anak lebam tapi bila ditanya dijawabnya jatuh, terhantuk dan macam2 alasan, maklumlah nak jaga hati dan perasaan tunangnya. Tapi berapa lama boleh rahsiakan.

Apa yang disangka si ibu rupanya memang benar, si lelaki punya sifat cemburu yang melampau, sanggup sepak terajang hanya kerana si gadis bercakap dengan pekerja lelaki satu pejabat. Perkara ni rupa2nya bermula dari hari bertunang sampailah 1 bulan lagi untuk menjadi raja sehari.

Tanpa pengetahuan sianak, si ibu pergi kepejabat dan bertanya dengan kawan2, barulah si ibu tahu belang si lelaki, pernah sekali si lelaki menarik tudung sigadis didepan khalayak ramai maka terungkailah aurat si gadis. Tahap kesabaran ibu sudah hilang dan membuat keputusan untuk berjumpa dengan keluarga si lelaki tapi dihalang dan dia mengugut kalau pergi jangan menyesal kalau apa yang akan berlaku. Akhirnya si ibu buat keputusan untuk memutuskan saja pertunangan anaknya. Si lelaki menyuruh si gadis berjumpa dia untuk memulangkan cincin tapi si ibu tidak membenarkan akhirnya abang si gadislah pergi berjumpa dengan lelaki durjana tu. (Patut ke gunakan perkataan tu).

Yang sedihnya segala persiapan telah pun dilakukan si ibu termasuk menempah baju pengantin dan pelamin.

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umatnya.

Monday, May 3, 2010

Kahwin, Makan. Baca buku. Tidur



Wahida & Hairoisyam


Sunday pagi selepas breakfast terus bertolak ke Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan anak jiran lama. Sebelum sampai kerumah pengantin saya pergi kekampus dulu ambil akak sebab nak bawa dia sekali. Dari kampus takdelah jauh sangat tempatnya di kg.Pulai, Merlimau. Sampai pukul 1.30 pengantin dah ada dimeja makan, rupanya mereka bersanding awal saya jangkakan time saya datang tu sempatlah nak tengok bersanding tapi hampa aje takpelah janji dapat tengok pengantin.

Dulu masa Wahida (pengantin) dan kakaknya Munira cukup rapat dengan saya dan hubby selalu ikut kami kalau pergi kemana2. Masa Munira kahwin kami tak dapat datang, begitu juga dengan 3 orang abang2nya. Ayahnya kami panggil Tok Perak sebab dia berasal dari Perak, maknya kak Mon berasal dari Singapore. Setelah bersara mereka buat rumah di Melaka sebab neneknya berasal dari sini. Kami pernah putus hubungan beberapa waktu dan selepas kami tahu mereka berpindah ke Melaka kami cuba jejaki, akhirnya jumpa semula.

Kak Mon pernah mengajar saya mengait dan saya pernah buat satu set chairback hasil dari kerjatangan sendiri. Bab masak pun kak Mon ajar tambahan pula kak Mon memang pakar dalam masakkan. Seingat saya kebanyakkan kawan2 dari Singapore memang pandai masak dan satu lagi mereka cukup fasih berbahasa Inggeris. Anak jiran saya dikampung belajar di sekolah agama berkahwin dengan abang S. Sahlan(pelakon) pandai memasak dan pandai bahasa Inggeris.

Berbalik pada kenduri tadi sampai saja kami terus makan lepas tu sembang2 sekejap dan tak lama kami pun minta diri. Kami terpaksa balik awal sebab nak hantar akak cepat sebab hari ni dia ada exam. Sebelum balik saya diperkenalkan Tok Perak dengan orang kampong saya yang dah berpuluh tahun tak jumpa berkahwin dengan sepupunya. Walau pun agak awal kami keluar dari Melaka tapi kami lama di R&R Seremban sebab my hubby nak berehat. Selepas solat asar saya dan adik makan yong tow foo, my hubby pula tidur dalam kereta. Dah puas tidur my hubby pergi minum lepas tu kami meneruskan perjalanan. Sampai rumah sebelum maghrib.

Malamnya saya baca buku, adik tengok anugerah puaslah dia mengajak saya tapi saya tak berapa minat sebab saya tak suka tengok segelintir artis kita yang ter over dari segi macam2. Tapi part artis Zee-Avi dari awal sampai habis dia nyanyi saya tengok, best memang berbakat dan menghiburkan. Jangan pula ada yang marah saya tegur artis kita, itu pandangan saya....



Zee Avi


Malamnya tidur lena sebab penat sangat...

Saturday, May 1, 2010

Masak-Masak






dah potong baru teringat belum snap


Hari ni masak lain sikit dari biasa sebab anak buah datang dengan tunangnya, pertama kali datang rumah. Saya pun singgah kat rumah ummi cari2 dan pilih dan pilih inilah hasilnya. Dah lama jadi silent reader ummi, saya C&P ya terima kasih dan minta halal. Saya masak nasi aswan, sambal udang, kerabu sotong dan desertnya saya buat puding susu koktail.

p/s: ayam tu saya buat basah sikit sebab my hubby nak berkuah tapi saya nampak ummi punya kering dan dia letak atas nasi.